Industri telekomunikasi dan multimedia di negara ini menjana pelaburan dan pendapatan RM47 bilion pada tahun lepas berbanding RM45 bilion pada 2010, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.

Katanya, peningkatan yang memberangsangkan itu selaras dengan apa yang diputuskan dan diusahakan oleh Jawatankuasa Komunikasi, Kandungan dan Infrastruktur (CCI) yang berperanan meneliti, mengawas dan mempromosi industri itu supaya ia terus berkembang maju.
“Dalam keadaan sedemikian, ia (industri itu) merupakan penyumbang terbesar kepada pendapatan sektor tertentu," katanya.
Beliau tidak menjelaskan sektor yang berkenaan.
Beliau berkata, sektor di dalam industri itu cepat meningkat dan turut mewujudkan peluang pekerjaan yang menggalakkan, iaitu tidak kurang 5,000 jawatan menjelang 2020.
Mengenai Dana Industri Kreatif, katanya, hampir 80 peratus daripada peruntukan RM200 juta telah disalurkan kepada penggiat seni kreatif di negara ini.
“Dana Kreatif ini telah dapat mencapai tahap penyertaan hampir 90 peratus.
“Kita sedang meneliti keberkesanan dana ini melalui syarikat yang telah memperolehinya dan akan memutuskan untuk meneruskan atau tidak berdasarkan keberkesanan ini.
“Kreativiti dalam soal penerbitan berkualiti filem, animasi, seni lukis, kraf dan hasil dari pertukangan tangan atau diterbitkan secara teknikal, digital dan lain-lain," katanya di sini.
Rais berkata, kementerian itu memperoleh indeks prestasi utama yang cemerlang menerusi perbandingan data, antaranya e-kesihatan di mana 28.9 peratus atau lebih 1,000 kemudahan kesihatan disambungkan menerusi jalur lebar berbanding sasaran asal 25 peratus.
“Dalam menghubungkan 1Malaysia ke seberang laut jumlah pengguna agensi yang dapat kita pastikan 20 (sasaran) tetapi kita terima penyertaan 37 dan 15,000 PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) telah berdaftar melalui skim “Get Malaysian Business Online," katanya.
Beliau berkata, kadar penembusan jalur lebar negara pada masa ini berada pada tahap 64 peratus dan akan mencapai 65 peratus tidak beberapa lama lagi, ini jauh melepasi sasaran 50 peratus.
“Ini, ertinya dengan 37 juta pengguna telefon bimbit serta 13.5 juta pengguna Facebook, Twitter dan sebagainya, Malaysia muncul sebagai sebuah negara terkehadapan dalam menggerakkan inisiatif digital juga jalur lebar," katanya.
Rais berkata, 3,500 kampung tanpa wayar dijangka dapat dijelmakan menjelang akhir tahun ini dan 538 menara pemancar telekomunikasi akan dibina.
“Cuma, kita khuatir kualiti telekomunikasi itu perlu ditingkatkan dengan jumlah “drop call" (talian terputus) mesti kurang.
“Kita akan pantau “drop call" ini dan orang ramai diminta membuat aduan tentang pengalaman "drop call" kepada SKM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia)," katanya.
02/08/12 - BERNAMA