Kuala Lumpur: Mulai tahun depan, pelajar sekolah menengah dan rendah di negara ini akan didedahkan kepada bahaya laman sosial yang boleh mendedahkan mereka kepada risiko menjadi mangsa penculikan dan penipuan terancang.
Timbalan Yang Dipertua Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO), Datuk Faridah Khalid, berkata siri ceramah dan bengkel dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) itu dilaksanakan berikutan peningkatan kes penipuan remaja dan wanita tempatan.
Beliau berkata, berdasarkan program dianjurkan pihaknya dengan 150 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara, kesedaran terhadap bahaya penipuan seperti menjadi mangsa janji manis sindiket ‘Awang Hitam’ masih belum mencapai sasaran.
“Ramai wanita tempatan masih terpedaya dan jadi mangsa penipuan hasil perkenalan menerusi laman sosial seperti Facebook. Saya hairan bilangan mereka bukan berkurangan, sebaliknya bertambah termasuk mem-babitkan wanita profesional walaupun pelbagai program dilaksanakan termasuk pendedahan menerusi media massa,” katanya.
Ogos 2012 Berita Harian





