Rabu, 8 Ogos 2012

Sambungan Tambahan Internet Menggunakan Router

Apa kegunaan router? Reviu produk router Linksys RE1000

BIASANYA, nadi kepada sambungan internet tanpa wayar tentunya terletak kepadaLinksysRE1000 peranti yang membolehkan pengguna mencapai gelombang untuk menerima jalur lebar dalam kawasan setempat seperti di rumah atau kafe tertentu.

Apabila bercakap mengenai jalur lebar tanpa wayar, pengguna sering mengaitkannya dengan ‘router’ sebagai peranti utama untuk merealisasikan sambungan berteknologi hebat itu.

Namun kadang-kadang sambungannya tidak cukup jauh, apatah lagi kalau anda mempunyai rumah yang besar melebihi tiga tingkat atau dewan yang luas. Sambungan internet akan terputus-putus atau tidak mendapat keupayaan rangkaian yang penuh.

Oleh itu, anda perlukan sambungan tambahan melalui router Linksys RE1000.

Mungkin kebanyakan pengguna akan tertanya-tanya fungsi penggunaan model sebegini dalam kehidupan seharian kerana ada yang kurang arif dalam bidang teknologi. Ia digunakan untuk menambah rangkaian dan subrangkaian tanpa wayar memandangkan kebanyakan pengguna memiliki lebih daripada satu komputer peribadi (PC) di rumah.

Contohnya, si ayah dan si kakak mempunyai laptop manakala si adik menggunakan PC yang memerlukan sambungan jalur lebar tanpa wayar bagi rangkaian internet. Sesebuah router mempunyai beberapa pelabuh dan paket akan disalurkan ke sistem rangkaian yang ditentukan beroperasi di lapisan ketiga iaitu model rujukan antara penyambungan sistem terbuka (OSI).

Jika si adik duduk di tingkat bawah dan router utama di tingkat atas, capaian isyaratnya tetap sama yang memungkinkan akses internet pantas. Jangan panik atau gusar apabila anda membeli produk ini kerana berpendapat pengetahuan teknologi maklumat (IT) anda sangat terhad kerana ia didatangkan siap seakan-akan ‘plug n play’, hanya pasang dan tekan butang on saja. Pengguna hanya perlu mengikut penetapan yang dijelaskan dalam manual seperti yang dilakukan penguji dan anda akan dapat menetapkan konfigurasi hanya dalam masa kurang 10 minit.

Selain itu, model ini membenarkan anda menghubungkan banyak peranti sekali gus dalam satu masa atau hanya tambah hab untuk meluaskan sistem rangkaian sebanyak mungkin yang dikehendaki. Pengguna juga tidak perlu bimbang jika keselamatan menjadi isu utama memandangkan ciri keselamatan juga dipertingkatkan melalui model ini dengan konfigurasi perlindungan dilakukan dengan hanya menyentuh satu butang iaitu penetapan perlindungan WiFi (WPS).
Oleh itu, segala anasir jahat yang cuba mengganggu akan dihalang terlebih dulu sebelum ia memasuki sistem laptop atau PC pengguna di rumah.

Penguji agak tidak percaya pada awalnya apabila memegang produk ini kerana tercari-cari antena yang kerap didatangkan dengan router. Bagaimanapun, sebaik membaca tulisan pada kotaknya, barulah penulis faham bahawa penyambung router ini langsung tidak menggunakan antena luaran kerana ia ditetapkan dalam peranti itu sendiri.

Warna hitam dengan reka bentuk empat segi mungkin biasa saja tetapi tidak pula menimbulkan rasa bosan seperti kebanyakan reka bentuk router lain di pasaran.
Tambahan pula, peranti mempunyai dimensi 125 x 32 x 95 milimeter yang memudahkan anda mengalihkannya mengikut kesesuaian. Produk ini sangat sesuai digunakan walaupun ia bukan peranti yang kerap diinginkan pelanggan dan mudah digunakan walaupun anda tidak berpengetahuan dalam IT.

sumber asal: Harian Metro